Catatan Yang Ditampilkan

Isnin, 25 Januari 2016

MB SELANGOR SAMPAIKAN SURAT MILIK TANAH PENEROKA FELDA


KUALA KUBU BHARU, 22 Januari 2016 - Penantian selama 27 tahun Peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor akhirnya terjawab, apabila seramai 139 orang daripada mereka menerima surat hak milik hari ini yang disampaikan Dato` Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali.


Tanah yang diterokai sejak 1988 telah dimajukan Felda sebagai ladang kelapa sawit membabitkan sebanyak 139 lot, kini berjaya mengubah taraf hidup mereka.

Dato' Seri Mohamaed Azmin bin Ali berkata, peneroka yang dikurniakan surat hak milik perlu memajukan tanah mereka supaya mendapat hasil bagi menjamin masa depan mereka. Semua pihak perlu mempunyai komitmen dibawah kerajaan yang bertanggungjawab meluluskan permohonan, rakyat pula mesti membayar hasil daripada pemberian tanah tersebut kepada kerajaan negeri.


Dato' Menteri Besar Selangor juga menyebut akan memajukan seluas 17 ekar di kawasan Felda Sungai Tengi Selatan untuk perumahan generasi kedua Felda sebanyak 136 unit rumah berkembar 1 tingkat akan dimajukan pada bulan Jun, 2016 pada keluasan rumah 850 kaki persegi, tiga bilik tidur dan pada kadar harga mampu milik RM97,000, berbanding harga asal RM160,000 dengan kos pembinaan infrastruktur RM7.65 juta ditanggung Kerajaan Selangor. 


Secara tidak langsung sekaligus menggalakkan generasi kedua Felda tinggal menetap di kampung selain dapat merapatkan keharmonian dan ukhwah keluarga. Perumahan generasi kedua Felda ini akan dimajukan oleh Perbadanan Negeri Selangor (PKNS).


Sementara itu, Encik Awalludin bin Mahful 50 Tahun, Pengerusi Koperasi Peneroka Felda Sungai Tengi Selatan melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.w.t kerana perjuangan untuk mendapatkan surat hak milik tanah akhirnya berjaya dimiliki walaupun memakan masa selama 27 tahun lamanya.



Dalam pada itu, Encik Muhammad Yushak bin Sajari, 63 tahun mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin kepada rakyatnya dengan menganugerahkan gran tanah seramai 139 peneroka tanpa melibatkan perbezaan politik. 

Beliau menambah, "Walaupun telah lama kami tinggal di sini, namun hari ini baru kami boleh berbangga untuk memiliki surat hak milik tanah sendiri. Kami berjanji akan terus mengusahakan ladang ini dan tidak berniat untuk menggadaikannya untuk mendapat untung cepat," katanya.

Seorang peneroka terkejut ketidakhadirannya pada majlis penyerahan hak milik tanah mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hamzah Abdul Jalil sepatutnya bersama 137 peneroka lain menerima hak milik, namun faktor dirinya yang lumpuh kesan kemalangan merencatkan niat itu.

Bagaimanapun, bekas Pengawal Keselamatan Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya itu terharu apabila Mohamed Azmin hadir ke rumahnya untuk menyerahkan sendiri hak milik tanah.


“Bila diberitahu Menteri Besar hendak datang untuk serahkan geran hak milik, saya rasa gembira dan tersentuh sebab tidak sangka beliau sendiri sanggup ke sini,” katanya kepada Kg.Fajarkini.


Seorang lagi penerima, Kamarulzaman Kamarul Baharin yang juga tidak hadir ke majlis sama ekoran uzur tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya ketika dikunjungi Mohamed Azmin.

“Saya jadi begini selepas kemalangan Julai tahun lalu, mula-mula kaki bengkak sahaja tetapi makin melarat sampai tidak boleh berjalan.

“Bila dapat tahu Kerajaan Negeri mahu beri geran, saya terkejut besar kerana tanah belum habis bayar tetapi geran sudah dapat dan diserahkan Menteri Besar sendiri,” katanya.

Selain menyerahkan dokumen hak milik tanah, Mohamed Azmin turut menyampaikan bantuan lain seperti kerusi roda dan wang tunai sumbangan Exco Kerajaan Negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada dua peneroka terbabit.

Mohamad Mohsin bin Kasim 55 Tahun, berkata, beliau yang berasal dari Kuala Selangor berhijrah ke Felda Sungai Tengi Selatan sejak tahun 1988 untuk mendapat sebidang tanah sebagai tempat mencari rezeki. 

Katanya, "Saya amat bergembira kerana setelah 24 tahun berusaha mencurahkan segala keringat di sini akhirnya tanah tersebut disahkan menjadi hak milik kami," ujarnya.


Seorang Peneroka Felda, Asarani bin Samat 54 Tahun, bersyukur kerana surat hak milik tanah yang diusahakan sejak sekian lama dapat diterima dengan tangan sendiri. Katanya, tanah tersebut akan menjadi penyambung rezeki kepada anak-anaknya memandangkan usia beliau sudah lanjut dan tidak mampu lagi bekerja keras di ladang.


Selain daripada itu, Abd. Aziz bin Jamal 60 Tahun, memang menyokong Kerajaan Negeri dalam memartabatkan pembangunan ekonomi rakyat dengan  memberi komitmen membantu peneroka felda di Selangor termasuk golongan usahawan dengan menawarkan pinjaman mikrokredit di bawah skim Pinjaman HIJRAH dimana rakyat boleh membuat pinjaman sebanyak RM5,000 hingga RM50,000 tanpa faedah untuk mereka yang beminat memulakan perniagaan.

Penyerahan Borang hak Milik Tanah Felda Sungai Tengi Selatan MB (ASRI) (3)

Hadir sama di majlis berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato' Mohd. Amin bin Ahmad Ahya, Exco Kerajaan Negeri, Y.B. Dato' Dr. Ahmad Yunus Bin HairiPenasihat  Undang-Undang Negeri  Selangor Y.B. Dato' Haji Nik Suhaimi bin  Nik Sulaiman, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, YB Dato' Noordin bin Sulaiman, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Tuan Mohd. Fauzi bin Mohd. Yatim, Pengurus Besar Wilayah Trolak, Tuan Haidir.

-----------------------------------------------------------------------------------------


































Tiada ulasan:

Catat Ulasan